Saya sedang menunggu suami apabila lalu seorang lelaki muda di hadapan saya. Jalannya laju tapi melilau memandang sekeliling bagai tercari-cari sesuatu.
Saya menyambung aktiviti menjadi pemerhati, dan secara tiba-tiba pemuda tadi sudah terpacak di depan saya. Berbaju melayu biru, seluar jeans dan menyandang beg galas di bahu. Air mukanya nampak risau, keliru dan segala macam yang tak dapat saya tafsirkan.
" Kak, boleh tolong saya tak?" tunduk selepas menutur ayat.
"Tolong apa?"
"Kak, boleh tak hulurkan duit? saya belum makan lagi hari ni".
Dan serentak yang sama, dia mengundur diri beberapa tapak ke belakang.
Saya cuba bertanya, "Dari mana ni?"
"Takpela kak, takpe-takpe," dia terus meluru ke depan.
"Eh dik, takpe-takpe, akak tak tanya dah", saya menjerit sedikit, suasana yang sunyi dan tambahan tiada ada orang di sekeliling, membuat kan suara saya sedikit bergema dan membuatkan lelaki muda itu terhenti.
Dia berjalan semula pada saya, saya keluarkan wang dari beg.
"Dik, akak bagi apa yang mampu ye," saya hulurkan sekeping wang.
"Terima kasih kak, terima kasih banyak-banyak, moga Allah murahkan rezeki akak dan mudahkan urusan akak," tangan yang di tadah, di raub ke muka. Air mukanya kelihatan sedih.
Saya lihat dia berlalu, hati tertanya, apakah kesulitan yang menimpa lelaki muda tadi. Pelbagai spekulasi muncul dalam hati, mungkin dia dari kampung, baru sampai ke Larkin dan kehilangan barang-barang penting, tak de kenalan yang boleh dihubungi, tak ada tempat untuk menumpang tidur, siapa tahu, kan?
Situasi itu memberi satu pengajaran pada saya. Menjadi satu tabiat saya, membawa duit yang cukup-cukup dalam beg duit jika ke mana-mana, cukup untuk tambang bas pergi balik, tinggalkan beberapa ringgit untuk beli air, itu sahaja. Seringkali dimarahi mak, banyak kali di pesan, bawa duit untuk kecemasan, jangan letak di dalam beg duit, letak di satu tempat yang selamat, musibah datang tak di duga.
Beringatlah jika berjalan jauh. Jangan terleka, takut nanti ada pemangsa menunggu masa mencekup. Moga Allah mudahkan urusan pemuda tadi. Moga kita semua dalam lindungan yang maha kuasa.

No comments:
Post a Comment