TENTANG FTR

Friday, June 22, 2018

Mak masuk hospital

Saat ini saya sedang duduk di hadapan kedai serbaneka, dalam hospital Besar Seremban sambil menikmati coffee Wonda kegemaran.

Mengambil nafas ketenangan sebelum mengambil giliran menyambung tanggungjawap seorang anak.

Saat ini, mak kami adik beradik berada dalam wad 6A, sudah 2 hari mak kat sana, bermakna sudah 2 hari saya berumahkan hospital ini.

Gara-gara menikmati hari raya, mak nekad tak mahu mengambil insulin, rutin hariannya setiap pagi dan malam, alasannya, tak puas menikmati raya jika insulin di ambil. Belum kira berapa banyak kes curi-curi makan, curi-curi minum, dan kami anak-anak culas memerhati tingkah laku mak sebab sangkaan kami, mak takkan menganiaya diri sendiri.

Natijahnya, kami anak beranak berumah tangga di hospital, masing-masing terpaksa bercuti, yang jauh terpaksa balik,  seorang menjaga di waktu siang, seorang mengurus dan memasak di rumah untuk ayah, menjaga ayam-ayam mak, dan tugas saya, meneman mak waktu malam.

Ini pengalaman pertama kami. Bagi orang yang pernah berada dalam situasi ini, mungkin tidak terasa cabarannya sementelah pernah merasai pengalaman ini. Tapi bagi kami, inilah kali  pertama kami merasa menguruskan mak dari hujung kaki ke hujung kepala, sehingga yang ke dalam-dalamnya kami uruskan, mak tak punya upaya hatta untuk bangun dari katil sekalipun.

Itu mak, lain kisahnya dengan ayah. Ayah kami sejauh yang kami kenal, orangnya garang, anak-anak tak berani mengangkat muka bila ayah mula berang, apa yang ayah cakap, tak siapa berani membantah (tapi kalau mak, 10 patah yang keluar dari mulut mak, kami gandakan berganda-ganda, Allah, kekadang bukan niat nak melawan, cuma itu satu tabiat yang dibawa sejak azali).

Dan bila mak ditimpa musibah begini, kami nampak betapa berkaitnya pasangan ini. Pada saat mak tak mampu bangun, terpaksa kencing atas tilam, ayah la yang selepas subuh mencuci kain-kain batik mak, membilas segala baju yang terkena, mengemas tilam untuk dijemur dan mengangkat mak untuk diurut. Satu saat, ayah tinggalkan mak dalam jagaan saya, halus pesannya, "ngah jaga mak jap ye, jangan pegi jauh-jauh", ditinggal mak dan rupa-rupanya ayah berjumpa dengan adik-adiknya, mengadu kesedihan melihat mak yang terlantar dan memohon pertolongan adik-adiknya mengurus kemasukan mak ke hospital.

Bila mak di letak dalam wad pemerhatian, ayah orang yang paling risau, kehulu kehilir tanpa duduk, tanpa makan, menunggu perkembangan mak di dalam. Anak-anak yang menegur, semua kene tempias, baginya, selagi mak tak buka mata dan tersenyum, selagi itu dia ada di muka pintu wad, risau kalau mak bangun dan dia tiada di sisi.

Bila keputusan keluar, baru dia mahu bergerak, dan akibat mengabaikan diri sendiri, ayah diserang demam, tak lalu makan, dan terbaring tidur, sekali lagi anak- anak teruji, ayah bukan mudah disuruh-suruh, tak kene anginnya, mau merasa kami jerkahannya.

Tapi hebatnya ikatan mereka, sejauh mana kami rahsiakan demam ayah pada mak, dia terlebih dahulu mengetahuinya, di paksa kami menelifon ayah, "teruk ke demam ayah?" tanyanya berkali-kali pada saya dan saya mengambil pendekatan tipu sunat, "bila pulak ayah demam?" termanggu sekejap si isteri, memikir dari mana dia mengetahui keadaan si suami.

Yang si suami pula, adik di rumah yang menjaga ayah, risau ayah tak bangun-bangun, makan tak lalu, bangun pon sekejap, batuk tak henti. Tapi kala disua telifon, bercakap dengan isteri, begitu normal suaranya, bagai hilang segala batuk, segala sakit, tak mahu si isteri risaukan keadaan nya.

Pelikkan hubungan sebegini? Pada saat kita bertanya pada pasangan, sejauh mana cintanya pada  kita, sanggupkah susah senang dengan kita, dan jawapannya sebenarnya cuma terluah pada saat dugaan Allah mengetuk lembaran kehidupan kita suami isteri, dan pada saat itulah, jawapan sebenar untuk soalan yang kita tunggu seumur usia perkahwinan kita terjawap.

Moga Allah kurniakan kita semua pasangan dunia akhirat. Bersama-sama pada saat susah senang, sakit dan sihat, duka dan bahagia, dan yang sama-sama beribadah supaya seiiringan ke syurga Allah.

Dan saya jumpa hikmahnya dugaan Allah pada saya selama ini, InsyaAllah. Allah capaikan niat saya untuk menjaga mak, Alhamdulillah, segala puji hanya untuk Dia.

Doakan kesembuhan ayah dan mak kami, terima kasih pada makcik-makcik yang sentiasa ada pada saat anak-anak kejauhan, pada merekalah kami titipkan permintaan, tolong tengokkan orang tua kami dan Alhamdulillah pada saat kami di duga, mereka la yang bersusah payah membantu dari pelbagai sudut. Alhamdulillah, moga Allah balas segala kebaikan mereka, InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment